Followers

Monday, June 22, 2009

PEMERGIAN FATHI YAKAN, KERINDUAN PADA SYEIKH AHMAD YASSIN

Fathi Yakan sudah kembali ke sisi Penciptanya pada 13 jun 2009 yang lalu. Ulama' ulung ini saya kenali melalui buku-bukunya tatkala di alam persekolahan. Ada semacam rasa sayu tatkala membaca ulasan blogger-blogger yang menulis tentang beliau.

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan merentapnya dari dada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan Ulama. Apabila tiada lagi ilmuan, maka nantinya manusia akan mengambil pemimpin-pemimpin yang jahil, pemimpin itu ditanya lalu mereka berfatwa tanpa ilmu, maka sesatlah golongan yang bertanya, sebagaimana sesatnya juga golongan yang ditanya” [Hadith riwayat al-Tirmizi]



Pemergian Fathi Yakan ini membuatkan saya sangat rindu pada Syeikh Ahmad Yassin. Biarpun hanya mengenalinya lewat melalui buku-buku tentang kekentalan semangat jihad beliau. Peristiwa saat beliau syahid pasti mengundang airmata saya tatkala membacanya......

Jom kita renunginya bersama.....

PERJALANAN HIDUP AS-SYAHEED

Syeikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampong bernama al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Dia telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin, dia dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.


Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh guru- gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, di mana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. pengPengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke hujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan islam dan dakwah islamiyyah.

Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di mesjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan islam. Hasil dari usaha tersebut sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama Mujamma al-Islam.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat islam di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai al-Mujahidun al-Filastiniyun pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan "Kataib Syuyukh" yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka. Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memilki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Melihatkan kepada kondisi negara-negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan islam yang dikenali sebagai HAMAS pada tahun 1987. HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid -masjid dari kalangan orang ? orang muda yang dikenali dengan nama "ATFAL HIJARAH" (Kanak -kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai "intifadah".

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18/5/1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenajarakan kerana kejayaan operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha membunuh tentera Israel. Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16 / 10 / 1991 telah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas Syeikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga mengalami kehilangan penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masaalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hidapan pada abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan..

Pada 13/12/1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur. Pihak rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh berserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Pada 1/10/1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan.


22 MAC 2004 - HARI KESYAHIDAN AS-SYAHEED SYEIKH AHMAD YASSIN

Semasa kejadian, Syeikh Ahmed Yassin, ketua dan pengasas Hamas berada di masjid Akademi Islam yang dibinanya di Gaza selepas solat Subuh(22 Mac 2004) tiba-tiba Israel menyerangnya dengan 3 peluru berpandu, salah satunya jatuh tepat ke atas beliau (As-Syaheed) sehingga beliau menemui syahadah bersama ramai lagi yang lain termasuk dua orang pembantu beliau yang menolak kerusi rodanya. Serpihan badan dan darah berhamburan di segenap penjuru kawasan. Di tengah jalan antara rumah Syeikh Yassin dan masjid Akademi Islam kira-kira beberapa ratus meter jaraknya, darah kelihatan di merata tempat dan cebisan-cebisan daging manusia melitupi dinding sebuah rumah dua tingkat di timur jalan. Pihak ambulan dan penduduk tempatan sama-sama tolong mengutip dan mengumpulkan cebisan anggota tubuh manusia di jalanan dan bumbung beberapa buah rumah berhampiran. Kerusi roda yang dinaiki beliau hancur lebur dan dipenuhi dengan darah. Saksi yang tinggal berhampirtan masjid itu memberitahu : Aku tercari-cari di mana Syeikh Yassin selepas peluru berpandu pertama jatuh....(saya nampak) dia (Syeikh Yassin) terduduk di atas tanah dan kerusinya hancur....orang ramai tergesa-gesa ke kanan dan ke kiri. Kemudian, selepas itu jatuh 2 peluru berpandu yang lain.



Saksi yang lain berkata : Tatkala peluru berpandu pertama dilepaskan ke arah Syeikh Yassin, saya melihat beliau bersama 2 pengapitnya (pembantu), apabila peluru kedua jatuh, saya lihat Syeikh Yassin bertukar menjadi cebisan-cebisan daging yang berterbangan di udara. Saya lihat 3 helikopter berlegar-legar di udara selepas ketiga-tiga peluru berpandu itu, saya bersama orang ramai segera untuk menolong Syeikh dan mangsa yang cedera, akan tetapi ia telah bertukar menjadi cebisan-cebisan daging. Saya nampak mukanya, peluru berpandu mengena kepala beliau menyebabkan otaknya terhambur keluar ke atas tanah...saya menangis.... Salah seorang pekerja hospital As-Syifaa yang memindahkan mayat As-Syaheed berkata :Tidak tinggal satu pun dari jasadnya kecuali kepalanya.



Berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin (kebanyakan mereka dalam keadaan menangis) keluar ke jalan-jalan raya bandar Gaza. Berdas-das tembakan dilepaskan ke udara. Salah seorang jemaah sembahyang berkata, Syeikh Yassin sememangnya mendambakan mati syahid (syahadah), dan beliau benar-benar telah mencapainya. Beliau pernah berkata kepada saya - "Saya tidak takut mati syahid, bahkan saya sukakan mati syahid, ketika mereka inginkan daku, mereka boleh mendapatkanku di kerusi rodaku, saya tidak bersembunyi."

CATATAN HUJUNG : As Syaheed sentiasa bangun pada pukul 3 pagi untuk bertahajjud, membaca al-Quran sementara menantikan solat Subuh.


**dipetik dari buku : SYEIKH AHMAD YASSIN BAPA INTIFADHAH PALESTIN
(terbitan Karya Bestari)

No comments:

KAMI ^_^

KAMI ^_^