Teks : Normi Mat Yusof
Foto : google/ koleksi peribadi
Anak-anak kita lahir dengan membawa anugerah luar biasa. Anak-nak yang lahir di rumah papan usang, sama cerdiknya dengan anak-anak yang lahir di klinik swasta berbayar yang mahal kosnya. Anak-anak yang lahir di negara matahari terbit sama pintarnya dengan anak-anak nelayan di tepi pantai. Mereka sama-sama makan ikan dengan banyak - seperti yang kita tahu makanan terbaik untuk otak. Cuma, yang yang membezakan anak-anak bakal menjadi manusia yang bagaimana adalah cara ibu bapanya membesarkan mereka.
Imam Syafie yang masyhur, beliau dibesarkan dengan kemiskinan dan kepapaan. Tetapi ibunya sungguh kaya dengan ilmu dan iman. Miskin...namun beliau tetap mahukan Imam Syafie menjadi seorang yang berilmu dan bijaksana. Anak kecil yang yatim itu diasuh dengan sentiasa mendengar lantunan ayat-ayat Al Qur'an dari lisan bondanya sendiri. Pada usia 7 tahun, Imam Syafie telah hafal Al Qur'an, pada usia 10 tahun sudah mempelajari 'Ulum Al Qur'an, dan pada usia 16 tahun beliau telak layak untuk memberi fatwa! ramai orang meminta fatwa dan nasihat beliau pada usia yang muda remaja itu. Tapi kita? Pada usia seremaja ini, masih rasa banyak perkara yang tidak tahu berkaitan dengan agama dan hukum hakam.
Kita selalu mendengar ibu, ayah guru pertama untuk anak-anak. Mari bersama kita renungi kembali dengan didikan kita pada anak-anak. Guru yang baik menerangkan, sehingga apa tidak difahami menjadi faham. Guru yang lebih baik memberi contoh, sedangkan guru yang terbaik memberi inspirasi. Kata-katanya memberi inspirasi pada ketika ia diucapkan dan ketika kata-kata itu diingat kembali.
Paling mudah contohnya ialah Rasulullah SAW.Kata-kata baginda memberi petunjuk, gerak laku baginda menjadi ikutan dan contoh, bahkan keseluruhan hidup bagina memberi inspirasi hingga ke hari ini.
Muhasabahnya, ibu bapa yang bagaimanakah kita bagi anak-anak kita? Guru yang baik, guru yang lebih baik atau guru yang terbaik? Atau bukan dari baik, lebih baik atau terbaik sama sekali?
Apakah kita hanya menjadi guru untuk anak-anak yang hanya menggunakan satu jenis bahasa sahaja....iaitu BAHASA PERINTAH. Tanpa sedar atau kita sememangnya sedar kita selalu hanya memberi arahan atau perintah kepada anak-anak. Perintah yang tidak dapat tidak anak-anak mesti ikut.
Peringatan ini untuk diri saya sendiri, kita selalu megharapkan anak soleh tanpa terlebih dahulu kita menjadi soleh. Kita selalu marah anak-anak menjawab dan melawan kata sedangkan kita pada masa sama selalu melawan dan lalai dalam menjawab panggilan Allah. Kita mahu anak-anak berbahasa lembut dan sopan, sedangkan kitalah ratu bersuara lantang memarahi anak-anak.
Pesan seorang guru, perubahan untuk suasana dan masa depan lebih baik bermula dengan diri kita. Tips didik anak soleh? Didik diri kita terlebih dahulu.
No comments:
Post a Comment